Ujana Ilham Ainol
Kecipak Waktu Mengocah Lesu di Kelukan Sungai Segamat di Kg Batu Badak
Monday, May 14, 2012
Pameran Buku Antarabangsa KL 2 Mei 2011
Seperti biasa pentas utama di Dewan Merdeka ini disisip dengan pelbagai pengisian. Borak buku, pelancaran buku baharu, temu ramah penulis, pengenalan Bulan Bahasa Kebangsaan oleh DBP yang bakal diadakan pada bulan Oktober dan kegiatan-kegiatan lain yang pasti memeriah dan merancakkan PBAKL kali ini.
Penerbit Mc Graw Hill, antara penerbit buku yang 'kaya' dengan 'khazanah' dan koleksi buku-bukunya.
Penerbit Karangkraf juga tidak ketinggalan 'gah' dengan warna 'merah'. Di penjuru kanan ruang pameran disediakan pentas untuk sesi wawancara, bicarawara, sudut bercerita, baca lewa sambil ketawa atau santai merakamkan nostalgia.
Kala di ITBM, saya sempat menyambar buku baharu seperti Kembara Sastera Nisah Haron, Perempuan Nan Bercinta nukilan Dr. Faisal Tehrani dan Malam Pertama karya Lutfi. Saya juga diamanahkan untuk memilih buku-buku dan jurnal-jurnal berwasit dari berpuluh-puluh penerbit yang sempat dikunjungi. Oleh jarak yang jauh dan kesuntukan masa, maka pemilihan dibuat agak tergesa-gesa, namun masih bersyukur kerna diberi 'nafas' yang berbaki untuk ke sana. Terima kasih kepada saudara Zulkifli dan Azhar dari TOHOKU Enterprise kerana menaja makan tengah hari. Mungkin lain kali, kami perlu ke sana awal sehari untuk 'memaksimakan' masa dan peluang. Insya Allah.
Tuesday, May 8, 2012
Kursus Pemantapan Staf APB di Suria Cherating Resort 21-22 April 2012
Kami bertolak awal ke Cherating (seputar jam 8.30 pagi), memandangkan masih awal untuk daftar masuk Suria Cherating Resort maka kami singgah sejeda di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Tengah hari mentari terik menggigit, bahang pasir pantai yang putih dan melaut telah 'menghalau' para pengunjung untuk 'berteduh' di Medan Selera yang berhampiran. Medan Selera untuk pengunjung bersantaian direka kemas dan dijaga bersih. Tahniah kepada Dewan Perbandaran Kuantan kerna gigih 'memurnikan' pantai libur yang indah mendamaikan itu. Andai diizinkan waktu, mahu juga membenamkan kaki lelah ini ke dalam pasir pantainya yang sedikit jerlus dan halus. Andai...
Kursus selama 2 hari 1 malam terasa cepat berlalu kerna seusai urusan daftar masuk lewat jam 3.00 petang. Kami terpaksa atau dipaksa bergegas ke dewan kursus untuk mendengar taklimat. Acara awal berjalan lancar dan pantas. Urusetia yang rata-rata masih pucuk namun 'berani' mencuba yang baharu dan 'tidak silu' mengarahkan staf-staf 'lama' menurut 'perintah'. Namun atas dasar kesepakatan dan 'sportmanship', kami berjaya digaulmesra dalam masa sesingkat 1 jam itu. Siapa sangka ya!
Pantai Cherating yang mengusik rasa pasti meninggalkan jejak kenangan yang tidak bisa 'dipadam' oleh ombak masa. Sesungguhnya, suasana pantai yang permai, kemudahan hotel yang memadai dan menu juadah yang direncahi makanan yang enak dan beraneka pasti bisa menyirna 'kebosanan' dan 'rungutan-rungutan' kecil para peserta. Yang penting kita sempat menjalin semula kemesraan dan ikatan 'kekeluargaan' yang kian pudar oleh kesibukan rutin dan waktu.
Mentari pagi setia menemani ufuk timur sambil memantulkan sinar ke cermin segara. Alunan ombak kecil nan perlahan tetap cuba memukul pantai. Kepulan awan pagi masih senyap mengapungkan diri di kaki langit. Sesekali menutup wajah mentari.
Kali ini APB UiTM Johor sempat mengumpulkan keluarga kecil sejumlah 30 orang di Pantai Timur yang memang digemari para pelancong. Kapan mau ke sana lagi? Di sudut memori, masih terpancar babak aksi para peserta lelaki berkain batik sambil bermain futsal pantai. Yang jelas, ketawa ria melihat gelagat lucu dan 'sporting' para peserta lelaki sungguh di luar jangka. Gelak ketawa juga bisa menghilangkan 'stres'. Hahahahahha.
( menurut satu kajian di US: menaiki 'roller coaster' berjaya menaikkan tahap keyakinan diri, juga mengurangkan stres) Paling tidak, kita cuba ketawa untuk mengurangkan stres dalam kehidupan kita. Marilah ketawa secara waras!!! Hahahahahahaha.
Semasa mendengar ceramah Pak Su ( Mohd Soder- Kaunselor), sifat suka memberi merupakan suatu perlakuan yang menunjukkan kasih-sayang. Memberi perkhidmatan secara ikhlas dan berterusan pasti menggembirakan dan berjaya 'memuaskan' hati si pemberi. Yang menerima pula akan terkesan sifat keikhlasan si pemberi. Sebaliknya, si penerima mungkin akan terfikir adakah aku akan terus-terusan berada di kedudukan 'menerima' saja tanpa mau memberi atau menyumbang? Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kita pasti akan cuba memberi walaupun dengan 'sekelopak senyuman' atau 'sapaan salam' yang santai dan ikhlas. Kita pasti akan lebih bahagia andai sifat berkira-kira dan bersangka buruk dikikis dengan hanya dimulai dengan perkara-perkara yang temeh. Cubalah....
Friday, April 27, 2012
Jom Borak Buku bersama-sama Marsli NO 20 April 2012
Puaskah anda sekadar menghirup secangkir ‘hampas’ kopi yang ‘pahit’?
Jom Borak Buku Siri 1
Program
Jom Borak Buku terilham seusai membaca blog Fadli-Akhiti. Seorang pengkritik sastera, buku, filem dan novel
yang berbakat. Penulis muda ini kini telah diberi kepercayaan untuk mengepalai
majalah Dewan Sastera, DBP awal tahun ini.
Sebuah makalah berat dan penting dalam kalangan pencinta dan pengamal
bahasa Melayu tanah air yang kini secara berani diberi suntikan baharu. Dengan harapan, DS bakal sentiasa
‘memekarkan’ kelopak pertengkaran ilmiah yang terarah untuk mengangkat martabat
bangsa di samping memperkasa jati diri bangsa Melayu dan meluaskan fakulti
pemikiran dan taakulan penulis-penulis tempatan, yang bukan secara melulu dan
tanpa segan meminjam langsung kerangka teori dan kaedah barat untuk mentelaah
karya tempatan.
JBB
Siri 1 telah menampilkan Marsli NO sebagai pembicara pertama dalam sesi bual bicara,
yang diadakan dalam iklim santai. Marsli
NO telah berkecimpung lebih daripada 42 tahun dalam dunia sastera tanah air
sejak beliau berusia 13 tahun lagi.
Seperti biasa, kalau kita hendak mengkaji gaya dan tabiat penulisan
seseorang penulis, kita perlu melihat dan menyelongkar rak-rak buku yang pernah
dibaca, ‘dikunyah’, ‘ditelan’ dan ‘diakrabi’ sepenuh ghairah oleh penulis
tersebut.
Buku-buku
yang dibaca oleh saudara Marsli NO telah diperkenalkan kepada peserta
satu-persatu. Mungkin setelah mereka
mengenali buku-buku tersebut, ia bakal membibit minat para peserta untuk
mentelaahnya di kala sengang.
Pada
awal karier beliau sebagai penulis, beliau telah terserempak dengan buku-buku
seperti ‘Atheis’, karya Akhadiat K. Mihardja. ‘Pertentangan’, nukilan S.Othman Kelantan,
‘Nyanyi Sunyi’, tulisan Amir Hamzah, ‘Di bawah Lindungan Kaabah’, hasil karya
Pak Hamka, ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, sentuhan Shahnon Ahmad, ‘Salina’ dan
cerpen ‘Longkang”, karya ilham SN A.Samad Said dan berpulu-puluh buku lain yang pernah menjadi santapan jiwa dan panduan
kepada seorang penulis yang memakai nama pena Marsli NO ini. Bila salah seorang peserta bertanya tentang
ilham di sebalik nama samaran tersebut, beliau menjawab : Biarlah rahsia!. Nama
sebenar beliau ialah Ramli bin Selamat, diputerakan di sebuah daerah di
Terengganu dan kini menetap di Kuantan, Pahang.
Beliau
menggelarkan diri sebagai penulis dari golongan ‘marhaen’. Rasa rendah diri dan kekurangan pendidikan
secara formal telah membentuk perwatakan beliau yang senyap ‘melawan’,
memberontak andai wayang ‘hipokrasi’ dimainkan oleh para pemimpin yang ‘cakap
tak serupa bikin’ dan hanya berpuisi dalam majlis-majlis rasmi yang palsu dan
menjengkelkan beliau.
Bagi
Marsli NO, puisi dan sastera perlu mendarahdaging dan dipersubur dalam segenap
tindakan dan dijadikan pegangan dan panduan agar penguasa atau pemimpin
masyarakat yang diangkat melalui peti undi atau penjawat awam yang tugas dan
tanggungjawabnya untuk mempersegar dan memupuk perasaan cintakan sastera bangsa
tidak berlaku jujur, dan gigih melaksanakan amanah yang digalas. Bukannya menjadikan program yang berbasi-basa
dan klise serta memualkan untuk menayangkan darjat diri yang tinggi tetapi
korup ide dan senteng rasa cinta dan hormat kepada bahasa dan budaya bangsa
Melayu itu sendiri. Makanya, oleh sikap
kepalsuan yang berleluasa dan semakin mencambah beliau telah menghasilkan
puisi-puisi dan novel seperti Pesan Pada Angin, Politikus, Anjing, dan Babi,
dan Negeri mabuk.
Sarana
sosial sinis yang pekat dan perasaan meluat beliau kepada pihak-pihak
berwewenang yang bobrok telah ditelanjangbulatkan di depan khalayak pembaca
agar para pembaca dan pencinta sastera bangsa bisa menjadikan ia sempadan dan
‘dosa’ andai ia dibiarkan berleluasa tanpa dibanteras sekeras-kerasnya.
Seorang
penulis perlu membaca dan ‘membaca’ seberapa banyak buku atau ‘peristiwa’ yang
berlaku di seputar hayat kita. Isu-isu
yang menyangkut kepentingan bahasa dan masa depan bangsa Melayu perlu
dipertahan dan dikembangluaskan agar bahasa Melayu sentiasa perkasa dan
bermaruah serta dinamik. Banyak usaha
perlu dilaksanakan untuk memastikan usaha ini sentiasa berhasil dan mencapai
puncak ranumnya setelah banyak karya-karya agung dunia diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu.
Karya-karya
beliau telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Korea,
Rusia, Inggeris, Portugis dan Jerman.
Karya-karya rentas sempadan kemanusiaan dan kebenaran serta mengangkat
martabat bahasa Melayu di persada ilmiah dan komunikasi antara bangsa-bangsa
dunia perlu dilakukan tanpa kenal erti lelah dan kalah.
Bangsa
yang cintakan bahasanya sendiri adalah bangsa yang maju dan bervisi serta bakal
melangsungkan hayat dan nafas bahasa yang semakin digigit bayu global yang
dingin membeku. Makanya bahasa kita hendaklah sentiasa diperhangat dan
digelorakan agar kehangatan dan geloranya dirasai dan diakui kepentingan dan
kesan pengaruhnya kepada bangsa itu sendiri demi menyaingi dan menseimbangkan
perkembangan bahasa Inggeris yang kian pesat dan maju dalam segala aspek
kehidupan. Bangsa kita perlulah sentiasa secara sedar berusaha untuk
melekangkan diri daripada menjadi ‘span’ yang berperanan ‘meresap’ dan
‘menyaring’ segala sampah dan penemuan mutakhir dalam perkembangan IT dan gajet
IT yang merebak bagai barah yang berdikit-dikit menghakis peranan bahasa ibunda
kita. Kita perlu secara sedar dan insaf
agar tidak terjerumus ke dalam kancah yang sentiasa ‘memerangkap’ kita agar
‘tunduk’ kepada keadaan demi memberi laluan kepada ‘elemen asing’ atau ‘sekadar
memberi alasan ‘menghormati’ pendengar-pendengar asing, yang mana peranan dan
kepentingan bangsa kita boleh ditolakketepikan seenteng dan seenak mencicip
secangkir kopi pahit di kafe sisi.
Aneh
bukan? Kita menghirup secangkir atau mungkin berteko-teko ‘kopi’ pahit hanya
untuk menapis hampas dan rasa ‘puas’ yang singkat tanpa secalit
singnifikan. Renung-renungkanlah!
Monday, April 23, 2012
Kursus Pemantapan Kualiti di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 13-15 April 2012
di kejauhan di kelopak awan di pantai Tanjung Balau pada pagi 15 April 2012, mentari pagi siap siaga meminjamkan cahaya untuk menyalakan obor-obor alam. ombak rindu beralun malas saat menggumuli air surut, batu-batu pantai persis sirip naga memecah ombak syahdu.
inap desa di Kampung Nelayan menanti pengunjung kota yang lelah, atau warga penjoran yang teruja ke tengah laut dalam menawan ebek, marlin, tenggiri atau jenahak.
titi yang memanjang ke laut setia menurunkan atau menaikkan pengguna atau nelayan.
bot-bot yang tersadai kala air surut, sedia menunggu kitaran seterusnya untuk dilambung ombak membelah laut.begitulah putaran kehidupan!
mentari pagi tersenyum di balik batu-batu pantai yang beraneka bentuk dan rupa. berlubang-lubang di badangnya, tajam di sisinya dan beraneka warna, setelah kesekian lama dimesrai air laut.
indahnya! sukar 'menangkapnya' dengan susunan kata yang terbatas maksudnya, makanya rasailah sendiri akan 'keindahan' dan 'keanehannya'.
Muzium Nelayan yang berjarak 200 meter dari pintu besar Pelangi Balau Resort setia menanti kunjungan para tetamu. menghimpunkan sejarah tempatan, kisah nelayan, peralatan ke laut - kolek, sekoci, bedar, licang, sampan, perahu, jala, bumbu, terendak, kail, kapal karam, artifak lama dll. ukiran di ulu dan burit bedar juga tinggi nilai seni ukirannya.
belangkas masak bercabai- enak rasanya, isinya yang sedikit, kenyal dan rasanya seperti isi ketam, telurnya pula rasa telur ikan dan di penjuru rasa pahit-pahit lemak...kalau teringin, pesanlah awal-awal dengan pihak resort...
Wednesday, March 14, 2012
Hujan...
Hujan yang turun bagaikan mutiara
berkilau bersinar berkerdipan
subur menghijau bumi terbentang
dan bayu berpuput lembut
cinta yang bersemi di waktu hujan turun
menyirami ketandusan hati
kau datang dan kau pergi jua
rindu lagi...
saat mendengar bait-bait lagu yang dilantunkan oleh gemulah Sudirman maka terasa pipi kenangan turut membasah. di sudut kenangan seolah-olah memainkan perca-perca filem yang dibintangi gemulah. suara dan tawa riang gemulah seolah-olah selsema yang berjangkit, kekadang suaranya yang syahdu saat menghayati lagu Salam Terakhir sesungguhnya mampu menyiat hati kita. kerana apa? mungkin kerana kita pernah melaluinya. ia persis hujan sama ada membasah atau membawa bah dan musibah.
berita kematian adik Nurul Nazirah teramat sukar dihazami dan dimengerti oleh akal yang waras. hanya mereka yang tergelincir dari terjal kewarasan kerna membiarkan api amarah dan dendam merasuk sepuas-puasnya.
akhirnya berlakulah lagi sebuah tragedi, dan seusai itu ramailah penilik, peramal dan pengkritik yang tampil memberikan pandangan dan kritikan, ada yang sanggup mencurah garam ke luka yang dalam yang dialami kedua-dua ibubapa si mangsa.
enakkan? mudah saja kan kita menjatuhkan hukuman? saya hanya mampu meminjam kehadiran sang hujan untuk sama-sama menitiskan air mata. hujan rahmat yang diguyuri-Nya ke jasad bumi yang 'ketandusan' erti kasih dan sayang sesama manusia.
segugus doa yang termampu dipanjarkan kepada si mangsa moga berbahagia menuju Negeri abadi. diharapkan ibubapanya bersabar dan tabah mengharungi dugaan yang teramat dahsyat ini. Al-Fatihah.
Tuesday, February 14, 2012
Sajak: Doa Tertangguh Sekeping Roh
Sajak ini telah muncul dalam Buletin Jendela Selatan Edisi Disember 2011 terbitan DBPWS
Doa Tertangguh Sekeping Roh
Aku
tidak tahu mengeja
Kerna
tidak diajari alif ba ta
Aku
tidak mampu berkata-kata
Kerna
lidah belum dibasahi bahasa ibunda
Aku
tidak pandai mengarang doa
Kerna
tidak sempat ditunjukinya
Aku
hanya terdaya menangis menagih simpati
Kerna
belum sempat mengerti
Kenyataan
yang teramat ngeri
Namun
kutitip jua doa kudus buat ibubapaku
Kerna
DIA dan para malaikat pernah membisik ke cupingku
Lalu
kupanjarkan syukur sesempurnanya
Meski
pun mereka pernah tergamak mencabulnya
Moga
ibubapaku sejahtera bahagia dan diampuni-Nya
Kini
kutunggu mereka di pintu syurga setaatnya
Untuk
kucium harum tangan mereka
Memeluk
mesra hangat jasad mereka
Kerna
melalui mereka aku tercipta
Kuakan
buat semampunya
Demi
memohon sejagat raya taufik dan keampunan-Nya
Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ
Segamat
5
Mei 2010
Sinopsis:
Belakangan ini kes-kes membuang bayi
dan penderaan kanak-kanak sehingga membawa maut telah menggoncang hati nurani
segenap lapisan rakyat. Perkara yang
amat menyayat hati berlaku hasil daripada keserakahan dan keruntuhan akhlak
anak-anak muda kita dewasa ini. Kasihan
bayi atau kanak-kanak yang tidak berdosa telah menjadi mangsa. Mereka dibuang persis sampah di surau,
perhentian bas awam dan dalam semak.
Yang malang dijerut sehingga mati sebelum disumbat ke dalam mangkuk
tandas atau longkang; dan ada yang dibiarkan sendirian dihurungi semut dan
lalat sehingga menemui ajal.
Sajak ini cuba memberi suara kepada
bayi-bayi yang malang ini. Di alam
barzakh ini, mereka tidak diajar mengeji,mengecam dan membenci ibubapa kandung
mereka. Akan tetapi mereka dengan penuh
kasih-sayang sedaya upaya mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ibubapa
mereka di dunia di samping memohon kepada Tuhan moga diampunkan dosa-dosa
ibubapa dan mengharapkan agar Tuhan melorongkan mereka ke jalan taubat dan
akhirnya menerima taubat mereka.
Bayi-bayi ini berjanji dengan penuh gembira untuk setia menanti ibubapa
mereka di pintu syurga demi mencipta pertemuan yang abadi.
Subscribe to:
Posts (Atom)










